Ayat itu jelas menunjukkan alam barzakh itu benar-benar wujud, manakala ayat yang menunjukkan azab seksa yang akan menimpa orang yang ingkar ketika berada dalam kubur pula iaitu firman Allah SWT dalam surah al-Mukmin ayat 46 yang bermaksud: “Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (ketika mereka berada di alam barzakh).”
Sebuah hadis riwayat al-Bukhari, daripada Aisyah katanya: “Dua wanita tua daripada kalangan Yahudi Madinah sudah masuk menemuiku lalu mereka berkata: “Sesungguhnya penghuni kubur diseksa di dalam kubur mereka.”
Aisyah berkata: “Aku menafikan mereka dan tidak percaya pada mulanya. Lalu mereka keluar. Dan masuk pula Rasulullah SAW menemuiku maka aku pun khabarkan apa yang terjadi (mengenai wanita Yahudi berkenaan).
Baginda bersabda: “Benar (wanita Yahudi berkenaan), sesungguhnya mereka diseksa dengan seksaan yang boleh didengar oleh semua binatang.”
Aisyah berkata: “Selepas peristiwa itu aku tidak pernah melihat Baginda solat melainkan setelah itu Baginda memohon perlindungan daripada siksaan kubur.
Daripada Zaid bin Tsabit r.a, beliau berkata: Ketika Rasulullah SAW berada di kawasan Bani Najjar sambil menunggang keldainya dan kami bersama Baginda, tiba-tiba keldainya terkejut dan hampir saja Baginda terjatuh. Di kawasan itu terdapat enam atau lima atau empat kuburan, lalu Baginda SAW bertanya: “Siapakah antara kamu yang mengetahui penghuni kubur ini?” Seorang lelaki menjawab: “Saya.” Baginda bertanya lagi: “Bilakah mereka mati?”
Lelaki tersebut menjawab: “Mereka mati dalam syirik.” Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya umat ini (penghuni kubur ini) sedang diseksa di dalam kubur mereka. Andai kata mereka tidak dikuburkan nescaya aku memohon kepada Allah agar Dia memperdengarkan kepada kamu seksaan kubur seperti yang aku mendengarnya.”
Walau bagaimanapun bagi mereka yang beriman dan beramal salih mereka berada dalam kenikmatan Taman Syurga. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment