Diperkosa abang sepupu.
SAYA penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan sejak kecil saya membenci lelaki disebabkan peristiwa hitam yang pernah saya alami. Sewaktu berumur lapan tahun, saya diperkosa oleh dua abang sepupu dan ibu bapa saya tidak mengetahuinya.
Sehingga peringkat remaja saya diperlakukan seperti itu hinggalah saya mengambil keputusan menetap di asrama. Sehingga umur saya 24 tahun, saya tidak pernah berada di rumah untuk jangka masa lama.Dalam kesibukan menuntut ilmu, saya dipertemukan dengan lelaki bernama H. Sebelum ini tidak pernah seorang lelaki pun boleh mencairkan hati saya. Perasaan benci dan dendam terhadap lelaki sangat tebal dalam diri saya.
Kerana tertekan dengan sikap H yang terlalu mengharap cinta saya, saya menceritakan segala-galanya padanya supaya dia membenci saya. Namun sangkaan saya tidak tepat, H sanggup terima saya seadanya. Kata H, dia terima siapa saya sekarang dan bukan saya yang dulu.
Sehingga kini, hubungan kami menjangkau lima tahun. Bagaimanapun, saya masih tidak dapat melupakan sejarah hitam yang saya alami.
Hampir setiap malam saya bermimpi kejadian itu dan ada kalanya saya terpaksa memuaskan nafsu dengan cara melakukan onani.
Sehingga kini juga abang sepupu saya tidak pernah berhenti mengganggu saya dengan membuat aksi lucah dan sebagainya. H mengajak saya kahwin supaya saya dapat melupakan semua itu, selain mengelak terus diganggu abang sepupu saya.
Masalahnya, ibu seolah-olah tidak membenarkan saya berkahwin sewaktu saya belajar dan mahu saya bekerja dulu.
Adakah perlu saya memberitahu ibu mengenai semua yang berlaku ke atas diri saya sebelum ini supaya dia membenarkan saya berkahwin? EMA Menjawab soalan saudari secara terus, Dang Setia berpendapat lebih banyak kelebihan jika saudari memberanikan diri berterus terang dengan ibu mengenai sejarah hitam saudari daripada terus menyembunyikannya.
Pertama sekali, sudah terlalu lama saudari memendam pengalaman pahit itu dan sepanjang tempoh itu banyak kesan negatif yang saudari alami, termasuk trauma, benci lelaki dan masalah seksual.
Ini kerana saudari tidak bersalah dalam hal ini, sebaliknya mangsa yang perlu dibantu. Syukur kepada Allah, H hadir dalam hidup saudari dan bersedia menerima saudari seadanya untuk menjadi suri hidupnya.
Justeru, Dang Setia yakin ibu saudari akan lebih memahami dan merestui niat saudari dan H untuk berkahwin kerana itu antara cara terbaik untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu saudari selama ini.
Dang Setia juga sependapat dengan H bahawa perkahwinan akan turut menyelesaikan gangguan berterusan daripada abang sepupu saudari ke atas saudari.
Apabila saudari bergelar isterinya, H mempunyai kuasa penuh ke atas saudari untuk menghalang abang sepupu berterusan melakukan gangguan seksual ke atas saudari, malah tindakan undang-undang juga boleh dikenakan ke atasnya.
Dang Setia sedar, pada ketika ini status saudari sebagai pelajar menjadi halangan utama untuk berkahwin dengan H, namun dalam situasi sedemikian kesan gangguan seksual yang saudari alami perlu diambil kira.
Satu daripada matlamat utama perkahwinan ialah untuk membolehkan nafsu seksual kita disalurkan secara halal dan keperluan ini sangat kuat ke atas saudari kerana saudari menyatakan ada kalanya terpaksa melakukan onani untuk melepaskan nafsu.
Justeru, mengambil kira keadaan ini, tidak keterlaluan dikatakan bahawa hukum perkahwinan mencapai tahap wajib ke atas saudari kerana ia mampu mengelak saudari terjebak dalam perbuatan maksiat.
Biarpun masih bergelar pelajar, pada usia 24 tahun nyata saudari cukup matang dan bersedia untuk bergelar isteri.
Ini bermakna, selagi saudari tidak berterus terang dengan ibu, selagi itu saudari dibelenggu masalah serupa kerana saudari tidak mampu menyelesaikannya sendirian, malah saudari sebenarnya langsung tidak berusaha menyelesaikannya secara profesional.
Semestinya, apabila saudari berterus terang dengannya ibu saudari akan terkejut, namun Dang Setia yakin dia tidak akan marah atau membenci saudari, sebaliknya akan memberi perlindungan dan membantu saudari.
No comments:
Post a Comment