Korban wang, dara kepada teman lelaki
SOALAN
SAYA berusia 22 tahun dan ada teman lelaki sebaya. Pada awal perkenalan saya tertarik dengannya, tapi baru beberapa minggu kenal dia mula berbual mengenai seks.
Saya bagaimanapun menafikannya kerana saya sememangnya tidak pernah melakukan hubungan dengan orang lain dan menjelaskan kepadanya bahawa melakukan aktiviti lasak juga boleh menyebabkan seorang wanita kehilangan dara. Namun dia tetap dengan pendiriannya sehingga saya terpaksa berpura-pura mengaku pernah menjalin hubungan dengan lelaki lain kerana tidak mahu bergaduh dengannya setiap kali topik itu diajukan.
Baru-baru ini saya hulurkan duit kepadanya kerana dia mendesak saya menolongnya dan terbaru ketika bertemu dengannya dia meminta saya melakukan hubungan seks dengannya.
Dang Setia, saya rasa seperti orang bodoh. Sekarang dia tidak menjawab panggilan telefon saya. Berpuluh-puluh kali saya hubungi dan hantar SMS padanya, tapi satu pun dia tidak jawab.
Apabila saya gunakan telefon lain untuk menghubungi, dia terus jawab. Alasannya, dia sibuk. Saya bengang sangat dan tidak tahu apa harus saya lakukan kerana saya sangat menyayanginya.
LILI
Kuala Lumpur
JAWAPAN
Saudari mengakhiri surat saudari dengan ungkapan “saya sangat menyayanginya.” Bagi Dang Setia, ungkapan berhantu inilah yang sering menjadi penghalang untuk menyelesaikan masalah insan yang asyik mahsyuk bercinta sehingga gagal berfikir dengan pertimbangan akal yang waras dan selari dengan tuntutan Islam.
Saudari, tidak salah untuk kita bercinta kerana memang ia fitrah atau keperluan manusia. Bagaimanapun, kita perlu berwaspada dan bijak mengawal fikiran serta nafsu. Jangan sekali-kali cinta menyebabkan hidup kita tunggang langgang tidak mengikut landasan Islam.
Buka minda saudari seluas-luasnya dan fikirkan secara waras apakah sebenarnya kebaikan teman lelaki saudari (jika ada) berbanding keburukannya yang terang-terang saudari senaraikan kepada Dang Setia.
Kerana dia, saudari bukan saja kerugian wang ringgit serta barang kemas, malah kehilangan maruah apabila ditidurinya. Itu berzina namanya. Ia dosa besar dalam Islam dan balasan di akhirat kelak sangat pedih azabnya.
Namun saudari seolah-olah lupa dan mengabaikan semua itu dan masih mengatakan saudari menyayanginya. Malah, apabila dia menuduh saudari pernah berzina dengan orang lain sebelumnya, saudari sanggup mengiakannya biarpun hakikatnya ia tidak saudari lakukan.
Terkini, Dang Setia menyifatkan dia memberi petanda jelas untuk ‘lari’ daripada saudari atau menyingkir saudari daripada hidupnya apabila tidak menjawab panggilan telefon dan SMS yang saudari hantar. Ringkas kata, tindakannya ibarat ‘sudah habis madu, sepah dibuang’.
Justeru ingin Dang Setia bertanya, adakah tindakan yang waras apabila saudari masih mengatakan “saya sangat menyayanginya?” Bagi Dang Setia, cukuplah saudari diperalat teman lelaki.
Cinta itu anugerah Allah yang suci dan murni. Jangan jadikan ia terlalu murah dan dipersia-siakan dengan diberi kepada orang yang tidak berhak.
Kita juga bertanggungjawab memastikan cinta itu tidak dicemari dengan kerakusan nafsu. Ada beza antara cinta dan nafsu.
Kalau setiap kali berjumpa dia lakukan hubungan seks, itu bukan cinta, tapi nafsu yang dipengaruhi syaitan. Bukti ketulusan cinta langsung tiada kena mengena dengan hubungan seks.
Jadi, saudari melakukan kesilapan besar jika terus melayan kehendak teman lelaki.
Sebelum terlajak lebih jauh, Dang Setia nasihatkan saudari segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.
Tidak rugi jika saudari ditinggalkan teman lelaki yang hanya pandai mengikis wang dan mengajak saudari berzina.
Lelaki seperti itu tidak layak menjadi teman hidup. Lelaki yang baik seharusnya membimbing kita ke arah kebaikan, bukan ke arah keburukan.
No comments:
Post a Comment