Masalah wang hantaran perkahwinan yang terlalu tinggi
SAYA ada masalah dengan teman wanita saya. Hubungan kami sudah menjangkau setahun dan berhasrat untuk mengahwininya. Masalahnya, sikap dia dan emak dia membuat saya rasa tertekan.
MR M
Dalam Islam, sudah terang dan jelas tatacara atau apa yang perlu dilakukan untuk melaksanakan urusan pernikahan. Jadi, syarat dan peraturan yang ditetapkan Islam itulah yang wajib dipatuhi serta diberi keutamaan, dan bukannya hal-hal lain.
Terus-terang, Dang Setia bukan pakar agama, namun apabila mengaitkan permasalahan saudara dengan ketetapan Islam, rasanya bukan sukar untuk memahami bahawa dalam Islam, dalam melaksanakan urusan pernikahan tanggung jawab bakal suami hanyalah menyediakan mas kahwin.
Menyediakan kos untuk menjalankan kenduri kendara bukan tanggungjawab bakal suami, sebaliknya ia tanggungjawab pihak keluarga isteri jika dia ingin mengadakan majlis perkahwinan itu. Bukan saja tidak adil, malah keluarga kekasih saudara sebenarnya tidak berhak meminta wang daripada saudara untuk mereka membuat kenduri.
Kalau pihak keluarga saudara pula ingin mengadakan kenduri, keluarga saudaralah yang perlu menampung kos kenduri itu dan saudara tidak berhak meminta wang daripada pihak bakal pengantin perempuan untuk membiayainya.
Kalau kita tidak mampu untuk mengadakan kenduri besar-besaran dan memanggil sehingga ribuan tetamu, buatlah secara sederhana setakat yang kita mampu. Tak perlulah nak menjadi hipokrit dan bermegah-megah mengadakan majlis kenduri besar-besaran tapi selepas itu hidup menanggung hutang keliling pinggang.
Hakikatnya, Islam itu mudah tapi kita sendiri yang menyusahkannya. Sebab itulah di awal tadi Dang Setia menyatakan masalah saudara berlaku kerana kita sendiri menyusahkan perkara yang sebenarnya mudah.
Begitu juga dalam soal wang hantaran. Dalam Islam, soal hantaran tidak timbul sama sekali kerana yang penting adalah mas kahwin. Tapi tak salah hantaran itu diwujudkan sebagai tanda hadiah penghargaan seorang lelaki kepada bakal isterinya. Cuma, perlu dipastikan agar ia tidak menyusahkan.
Jika niat perkahwinan dilangsungkan ikhlas kerana Allah atau untuk memenuhi tuntutan agama, kedua-dua pihak, sama ada keluarga bakal pengantin lelaki atau perempuan perlu bertolak ansur dan tidak menyusahkan. Wang hantaran yang diletakkan perlulah berpada-pada, setaraf dengan kemampuan bakal pengantin lelaki.
Justeru, saudara perlu menegaskan perkara ini kepada teman wanita saudara dan ibu bapanya. Nyatakan dengan jelas kemampuan saudara dan keperluan mematuhi kehendak Islam. Apa yang wajib dipatuhi, itu yang perlu didahulukan dan apa yang tidak wajib, ia boleh diabaikan.
Jika kekasih saudara dan ibu bapanya bersedia memperbetulkan salah faham mereka dan setuju bertolak ansur untuk tidak menyusahkan perkara yang senang, seharusnyalah saudara meneruskan hasrat untuk berkongsi hidup dengannya.
Bagaimanapun, jika mereka bertegas tidak mahu menukar pendirian mereka, Dang Setia berpendapat sebaik-baiknya saudara mohon untuk mengundur diri secara baik dan carilah wanita dengan ibu bapa yang lebih faham soal Islam untuk dijadikan isteri dan mentua. Dengan pendirian yang begitu, jelaslah bahawa perempuan itu tidak sesuai dengan anda dimana perempuan itu dan keluarganya bakal menyusahkan kehidupan anda dihari muka dengan pelbagai permintaan, seandainya anda meneruskan juga perkahwinan dengannnya dan memenuhi segala permintaan mereka itu.,
Sebab itulah dalam Islam, kriteria utama yang ditekankan untuk mencari pasangan hidup ialah kefahaman dan amalan agama, bukannya paras rupa dan harta ataupun kedudukan. Ini penting supaya tidak berlaku masalah meletakkan pelbagai syarat yang tidak wujud dalam Islam dan si isteri meminta keperluan yang melebihi kemampuan suami.
No comments:
Post a Comment