Saya menangis kerana mengenangkan nasib keluarga kami selepas adik terlanjur
SAYA remaja belasan tahun tapi bawah dari 20 tahun dan ada masalah berkaitan keluarga. Setiap hari saya menangis mengenang nasib keluarga saya apabila seorang daripada adik saya terlanjur dengan kekasihnya.
Kejadian terlanjur itu berlarutan pula dengan masalah adik saya mengandung luar nikah. Saya hanya tahu perkara ini apabila balik ke rumah masa cuti pengajian baru-baru ini. Saya terkejut besar dan tak tahu apa nak buat.
Saya tak sanggup melihat emak menangis kerana ayah marah emak dan kata dia tak pandai jaga anak. Emak mengadu masalah dia pada saya. Saya cuma suruh emak bertenang sebab saya sendiri pun tak tahu nak buat apa.
Berbalik pada adik saya yang mengandung luar nikah itu, dia menyesal setiap perbuatannya. Saya cuma boleh menasihati dia. Memang pada mulanya saya nak marah tapi saya sedar marah pun tak guna sebab semua sudah berlaku. Saya cuba berfikiran positif dengan beri sokongan kepada ibu dan adik saya itu.
Saya menasihati dia supaya tidak gugurkan kandungannya, sebaliknya peliharalah bayi itu dan bersyukur dengan apa yang diberikan Allah.
Saya remaja dan masih belajar. Bagaimana saya mampu menghadapi semua ini? Sekarang saya sudah kembali ke kampus. Setiap kali saya telefon emak, saya dapat rasakan kesedihannya. Sudahlah anak mengandung luar nikah, ayah pula selalu salahkan dia. Saya cukup sedih apabila mendengar tangisan emak.
Dang Setia, kenapa bila berlaku perkara begini, hanya kaum ibu sahaja yang dipersalahkan? Emak saya orang yang baik. Saya suka senyumannya dan saya selalu mengusiknya. Tapi kini gelak tawa emak tak lagi kedengaran, yang ada hanya tangisannya saja.
Masalah ini menyebabkan saya seolah-olah trauma untuk memiliki teman lelaki dan berkeluarga. Saya lebih suka berkawan saja dengan lelaki walau hakikatnya ramai lelaki ingin memiliki cinta saya.
Saya menolak cinta mereka dengan baik kerana saya lebih fokuskan pada pelajaran dan keluarga. Saya perlu bantu mereka.
Saya berharap Dang Setia membantu saya untuk menghadapi semua ini kerana saya hanya kaum hawa yang lemah.
MIA
Masalah saudari memang berat kerana kemampuan saudari untuk menyelesaikannya amat terbatas. Punca masalah pula, bukanlah diri saudari, sebaliknya adik saudari dan yang menerima kesan paling teruk pula ialah ibu saudari, jadi secara rasional dan logiknya apalah sangat yang mampu saudari lakukan untuk memulihkan keadaan.
Dang Setia menekankan perkara ini bukan bertujuan melemahkan semangat saudari atau mahu saudari menyerah kalah, sebaliknya Dang Setia mahu saudari menyedari bahawa dalam keadaan tertentu apabila berdepan masalah, memang kita tidak berkeupayaan untuk mencari jalan keluar terbaik.
Apabila menyedari hakikat itu, tidaklah kita menjadi terlalu tertekan, sebaliknya kita akan lebih rasional dengan berusaha mencari jalan penyelesaian sekadar yang kita mampu. Selebihnya, berdoa dan berserahlah kepada Allah, mudah-mudahan kita diberi kekuatan untuk menghadapi ujian yang didatangkan-Nya serta dikurniakan jalan penyelesaian terbaik.
Sehubungan itu, dalam kes saudari Dang Setia berpendapat sekadar menjadi `pendengar yang bagus' atau `good listener' kepada ibu saudari, sudah dikira membantu dan mampu menjadi sumbangan yang besar untuk meringankan bebanannya.
Untuk menjadi pendengar yang bagus, terlebih dulu saudari perlulah kerap pulang ke kampung (setakat termampu) dan berhubung dengan ibu saudari. Ini satu ciri anak solehah yang tidak pernah melupakan dan sentiasa mengambil berat keadaan ibunya, baik di masa susah mahupun senang.
Sebagaimana yang saudari katakan, beban ibu saudari amat berat, jadi jangan anggap peranan saudari untuk mendengar keluhannya dan menenangkannya sebagai peranan kecil. Berusahalah sebaik mungkin untuk memujuknya dan memintanya sama-sama bersabar.
Katakan pada ibu bahawa dalam menempuh kehidupan, kita tidak akan terlepas daripada ujian Allah. Yang berbeza cuma tahap ujian itu, ada yang kecil dan ada yang besar. Dan, yakinlah bahawa ada ramai lagi insan yang Allah uji dengan ujian yang lebih hebat daripada kita.
Katakan juga pada ibu, ujian yang keluarga saudari hadapi sekarang bukan didatangkan Allah sia-sia atau tanpa sebab, sebaliknya ia petanda Allah sayangkan anda semua.
Bagaimana ingin lulus ujian ini? Bagi Dang Setia, inilah masa untuk seluruh anggota keluarga saudari muhasabah diri. Mungkin selama ini anda semula leka dan sedikit lali dalam menjalankan tanggungjawab kepada Allah.
Disebabkan Allah sayangkan kalian, dihadirkannya ujian ini kerana Allah mahu melihat kalian semua kembali berdoa, menangis dan merintih memohon pertolongan-Nya. Semakin kita minta pertolongan daripada Allah, semakin Allah suka dan sayangkan kita, insya-Allah.
No comments:
Post a Comment